Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Impian Ketika Kecil Pemandu Lori, Kini Pemegang PhD


Seorang guru yang ketika bersekolah dahulu pernah bercita-cita menjadi seorang pemandu lori, kini bergelar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila beliau berjaya menamatkan pengajiannya di bidang Sains Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dr. Mat Rahimi Yusof, 45 dari Putera Jaya, Setiu adalah pemenang Anugerah Pro Canselor (Sains Sosial) sempena Konvokesyen UMT, kelmarin.

Rahimi berasal dari Kampung Banggol, Setiu itu, berkata, minatnya untuk menjadi pemandu lori masih ada sehingga kini walaupun sudah bergelar guru malah dia memiliki lesen kelas kenderaan itu.

"Mungkin rezeki saya menjadi guru dan memperolehi PhD kerana sebenarnya masa sekolah dulu saya hanya bercita-cita mahu menjadi pemandu lori kerana minat.

"Bagaimanapun cita-cita saya itu terpaksa saya lupakan kerana mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Ipoh dan mengajar di Sabah selepas tamat SPM," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Penerima pertama PhD dari Setiu bagi jurusan Sains Sosial dan juga pemegang PhD kedua dari daerah yang sama mendapat Anugerah Pro Canselor itu juga mengakui menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD bukanlah sesuatu yang mudah kerana menuntut pengorbanan dan canaran yang tidak berbelah-bahagi.

"Saya terpaksa korbankan sebahagian kehidupan saya terhadap pelajaran selain tumpuan terhadap pekerjaan dan keluarga, selama tiga tahun untuk menamatkan pengajian PhD.

"Dalam sehari lebih kurang lima ke enam jam saya tumpukan kepada pengajian untuk menyiapkan tesis bagaimanapun saya tetap memberi tumpuan terhadap keluarga dan pekerjaan sebagai guru," katanya anak kedua daripada lima beradik itu.

Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik (SMKP), Setiu itu membuat kajian bertajuk 'Pembinaan Model Hubungan Kepimpinan Instruksional Maya, Pola Komunikasi Dan Kompetensi Pengajian Guru Sekolah Menengah Di Malaysia.

Rahimi berkata, beliau begitu gembira dengan kejayaan itu dan bersyukur kerana diberi oleh Allah SWT kekuatan untuk menyiapkan tesisnya.


"Alhamdulillah, walaupun cita-cita untuk mendapat PhD ini bukan bermula di awal pengajian saya iaitu beberapa tahun selepas mendapat ijazah tetapi akhirnya saya tercapai juga untuk menamatkan pengajian ini," katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru di Sabah itu.

Selain mendapat dorongan dan semangat dari isteri, Nurhafizah Yusof, 43 dan tiga anaknya, Rahimi juga menerima sokongan serta kerjasama dari Pengetuanya, Zahari Ahmad dan juga bekas Pengetua SMKP,  Maznah Razali.

"Saya juga berterima kasih kepada Penyelia Tesis,  Dr Mohd Yusri Ibrahim dan pensyarah kerana banyak mengajar saya serta rakan-rakan satu pengajian di UMT," katanya.

Seramai 2,717 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima diploma dan ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-15 universiti itu selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Di majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan itu, seramai 41 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 163 graduan sarjana, sarjana muda (2,384) dan diploma seramai 129 orang.

No comments: