Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Usahawan Online Perlu Guna Sepenuhnya Kemudahan Media Sosial Untuk Pasar Produk

Para usahawan yang menceburi perniagaan dalam talian perlu sentiasa mengikuti trend terkini untuk terus kekal berdaya saing, selain memperkemaskan pangkalan data pelanggan dan sentiasa bergerak seiring perubahan teknologi maklumat semasa.
Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, mengikut kajian yang dibuat oleh SME Corp. Malaysia, daripada responden yang dikaji dalam tempoh suku pertama tahun ini, sebanyak 4.7 peratus usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu menggunakan perniagaan melalui dalam talian berbanding hanya 2.5 peratus pada suku tahun ketiga 2016 manakala 7.4 peratus secara keseluruhan di Malaysia.
“Ini memperlihatkan peningkatan syarikat yang menggunakan platform digital media sosial seperti Facebook dan Twitter dalam urus niaga.
“Selain itu, peningkatan atau perkembangan perniagaan online sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga serta jaminan barangan yang dibeli itu sampai kepada pembeli,” katanya ketika sidang media “Program Sembang Peniaga Online” yang dihadiri lebih 100 peniaga atas talian di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, semalam.
Program anjuran SME Corp. Terengganu dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) itu bertujuan memberi peluang kepada peniaga online untuk berkongsi pengalaman dengan peniaga atas talian yang telah berjaya menggunakan platform tersebut untuk memasarkan produk mereka.
Menurutnya, peningkatan itu juga menunjukkan kecenderungan PKS dalam fasiliti baru ini dan usahawan Terengganu disaran memanfaatkan ekosistem digital ini supaya mereka kekal berdaya saing secara dalam talian.
“PKS perlu meletakkan perniagaan mereka pada ekosistem yang tepat untuk bersaing pada peringkat global terutamanya melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (Digital Free Trade Zone) yang baru dilancarkan pada tahun ini. Sektor PKS adalah tunggak penting ekonomi Malaysia kerana sektor ini menyumbang hampir 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Kita juga akui ada beberapa kes penipuan atau kes memperdaya pelanggan melalui perniagaan atas talian dan ini sukar dibendung kerana kebanyakan peniaga tidak mendaftarkan perniagaan mereka, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang aduan,” ujarnya.
Muhammad berkata, beliau nasihatkan usahawan Terengganu yang berniaga secara atas talian untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi perniagaan selain memberi keyakinan kepada pengguna.
Dalam pada itu, beliau turut memberi pandangan agar PKS perlu kreatif memasarkan produk seperti mengadakan perkhidmatan selepas jualan serta membina hubungan baik dengan usahawan lain agar dapat bekerjasama dan saling bertukar pendapat. Malah, turut menyarankan peniaga untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK terutama yang melibatkan isu mempamerkan harga barang seperti yang termaktub di bawah Akta Perihal Dagangan (pindaan) 2017.

No comments: