Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Sultan Mizan Seru Umat Islam Hati-Hati Gerakan Menongkah Arus Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sultan Mizan bertitah merasmikan Kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini agar berhati-hati dengan pelbagai aliran pemikiran dan gerakan yang menongkah arus fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dalam diam cuba menyelinap masuk dan menjadi barah dalam masyarakat Islam.

Baginda bertitah, segelintir masyarakat Islam seolah-olah cuba untuk memperbesarkan jurang  perbezaan dan menyalahkan pengamalan ibadat seharian yang tidak sealiran dengan mereka.

“Penularan ini merupakan satu cabaran baharu dan jika dibiarkan ianya boleh merungkai pegangan akidah, amalan syariah serta akhlak umat Islam di rantau ini.

“Sebagai umat Islam yang menjunjung perintah Allah S.W.T dan rasul, kita hendaklah menjernihkan kembali kekeliruan dan kekusutan yang ditimbulkan oleh mereka yang cuba memporak-porandakan agama Islam yang mulia ini,” ujar baginda dalam titah ucapan sempena Majlis Perasmian kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Titah baginda, penjernihan kekusutan dan kecelaruan ini tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah kecuali umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk dipegang selamanya.

“Oleh itu, beta menyeru kepada para ulama dan pendidik intelektual Islam , Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Agama dan semua pihak agar dapat menangani isu ini dengan lebih bijaksana serta dengan semangat permuafakatan secara ilmiah, halus dan berhikmah.

“Beta juga mengharapkan agar masyarakat bukan Islam sewajarnya diberikan kefahaman yang jelas tentang Islam bahawa Islam adalah agama berkasih  sayang dan mencintai keamanan dan keharmonian.

“Diharapkan agar kolokium yang diadakan pada hari ini dapat memberi impak yang besar dan kefahaman yang jelas demi memperkukuh lagi pegangan rakyat negeri ini kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah Sultan Mizan.



No comments: