Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Penuntut Cemerlang Perubatan UniSZA Tidak Sempat Rawat Ayah Sendiri

Fauzan (kanan) dan Farid meraikan kejayaan selepas masing-masing menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Konvokesyen UniSZA kesembilan, di UniSZA Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Hasrat seorang graduan terbaik Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  untuk merawat ayahnya yang menghidap penyakit buah pinggang, tidak kesampaian apabila ayahnya itu meninggal dunia penghujung tahun lalu.

Graduan itu, Muhammad Fauzan Abdul Hamid, 25, adalah penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-9, di Dewan Al- Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Muhammad Fauzan berasa terkilan kerana tidak sempat merawat penyakit yang dihidapi arwah ayahnya, Dr Abdul Hamid Salleh, selepas bekas Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kuala Lumpur itu dikesan mengidap penyakit buah pinggang kira-kira empat tahun lalu.


"Saya mahu mencapai cita-cita bergelar doktor pakar buah pinggang dan mahu merawat ayah sendiri, namun ajal ayah lebih cepat apabila arwah meninggalkan kami sekeluarga pada Disember 2016 akibat komplikasi buah pinggang," katanya.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, ayahnya yang mendapat PhD dua tahun lalu dan ibunya, Umi Suraiya Wahab adalah pendorong utama kepada kejayaannya sehingga mendapat anugerah tertinggi di kalangan graduan di UniSZA kali ini.

Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada semua pendidik dan pensyarah yang banyak merangsang kejayaan beliau sejak dibangku sekolah rendah sehingga di menara gading termasuk sepanjang menyambung bidang perubatan di UniSZA.

Bekas Yang Dipertua Persatuan Pelajar Perubatan UniSZA itu juga mahu menyambung pengajian sarjana kepakaran dan sub kepakaran di luar negara bagi mencapai impian sebagai doktor pakar nefrologi serta berhasrat untuk berkhidmat di Hospital UniSZA sebaik pusat perubatan itu beroperasi kelak.

Selain Muhammad Fauzan, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin), Mohammad Farid Abdul Talib.

Seramai 2,359 graduan menerima doktor falsafah (PhD), sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing di majlis konvokesyen yang disempurnakan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmaf Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Dato' Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Turut serta, Peguam Negara yang juga penerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang, Tan Sri Dato' Sri Mohamed Apandi Ali serta penerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan Kepimpinan, Dr. H. Syahrul Yasin Limpo.



No comments: