Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Bot Penambang Akan Dinaik Taraf Sebagai Teksi Air



Ahmad Razif bermesra dengan pemilik bot penambang dan beca. Foto Harish Fadzillah Kassim

Kerajaan negeri akan menaik taraf perkhidmatan bot penambang di Terengganu sebagai teksi air, mulai tahun depan.

Cadangan melibatkan 18 pengusaha bot di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sebagai kumpulan perintis itu dijangka mampu meningkatkan pendapatan, berikutan pada masa kini mereka hanya bergantung kepada pelanggan dari Seberang Takir dan Pasar Payang, selain terlibat dalam program tertentu anjuran kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebahagian daripada 18 bot penambang sudah dibaik pulih dan dihias dengan lampu khas membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM600,000 atau RM30,000 bagi setiap bot penambang.

“Manakala sebahagian lagi (yang belum dibaik pulih) akan diusahakan secepat  mungkin agar dapat beroperasi dalam tempoh yang ditetapkan.

“Langkah  seumpama ini pasti menambah daya tarikan pengunjung tempatan dan pelancong luar negara untuk terus menggunakan perkhidmatan bot penambang atas pelbagai tujuan, termasuk bagi disewa untuk mengelilingi  Sungai Terengganu pada waktu malam,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif  Kepada Pemilik Beca dan Bot Penambang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama,  Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud; Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Ahmad Razif turut memberitahu, kerajaan meneruskan pemberian insentif RM200 sebulan kepada 51 pemilik beca dan 18 pengusaha bot penambang di Terengganu yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM165,600 setahun.

Katanya, walaupun kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan, bayaran insentif secara terus kepada golongan sasar itu tetap diteruskan sebagai menghargai jasa dan perkhidmatan mereka dalam sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Pemberian insentif secara bulanan  yang diperkenalkan sejak 2015 itu  merupakan satu langkah kerajaan dalam menghargai jasa golongan itu yang menjadi antara nadi utama sektor pelancongan di Terengganu.

“Selain insentif, mereka turut disarankan  menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma bagi memastikan mereka bersedia menawarkan khidmat yang terbaik kepada pelancong,” katanya.


No comments: