Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Terengganu Sasar 2,027 Calon UPSR Peroleh 6A

Calon UPSR mencium tangan Ahmad Razif bagi memohon restu sebelum melangkah ke dewan peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim.

Terengganu mensasarkan jumlah calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan memperoleh keputusan cemerlang 6A tahun ini seramai 2,027 daripada 20,273 calon negeri ini yang menduduki peperiksaan itu, bermula hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sasaran pada tahap 10 peratus itu lebih realistik berbanding 20 peratus tahun lalu, bersesuaian dengan keupayaan murid berikutan peperiksaan yang menggunakan format baharu, di samping pertambahan satu lagi mata pelajaran.

“Dulu kita mempraktikkan konsep 201052, tetapi apabila format UPSR bertukar daripada 5A kepada 6A bermula tahun lalu, kita turunkan sasaran kita daripada 20 peratus menjadi 10 peratus berdasarkan perkembangan keseluruhan pelajar yang diakui lebih sukar untuk mendapat semua A dengan format baru ini.

“Justeru, kita sasarkan hanya 10 peratus dan kita yakin ianya tidak mustahil untuk dicapai oleh pelajar Terengganu dengan kesungguhan pelajar serta komitmen dan kerjasama semua pihak,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah bagi meninjau pelajar yang menghadapi UPSR di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar To' Puan Seri Halina Zakaria dan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin. 

Ahmad Razif berkata, sepanjang peperiksaan berlangsung beliau akan mengadakan lawatan di sekolah terpilih untuk memberi motivasi dan semangat kepada murid sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan.

Katanya, sasaran Gred Purata Negeri pula pada tahap 2.8 dan diharap seramai 15,742 calon atau 80 peratus lulus dalam semua mata pelajaran atau sekurang-kurangnya D.

Sementara itu, menurut Ahmad Razif, terdapat enam orang calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan iaitu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (2) dan masing-masing seorang di Kuala Terengganu Specialist Hospital, Hospital Dungun, Hospital Kemaman dan Hospital Daerah Hulu Terengganu.

Di Terenggganu, sebanyak 363 pusat ujian disediakan untuk murid Tahun 6 menduduki UPSR yang bermula hari ini hingga 14 September dan berakhir pada 18 September ini.

No comments: