Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Terengganu Nekad Rampas Juara Sukma 2018

Rozi bersama sebahagian daripada atlet yang bakal bertanding dalam kejohanan Sukma 2018 di Perak. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kontinjen Terengganu menggunakan formula tersendiri bagi mengembalikan gelaran juara keseluruhan yang pernah dimenangi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008, 2010 dan 2012 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata, semua atlet sudah menjalani latihan dan melakukan persiapan awal bagi menghadapi cabaran Sukma 2018 di Perak.

Katanya, ketika ini, semua atlet memasuki persediaan fasa kedua dan akan memulakan fasa ketiga pada Disember nanti.

"Untuk fasa kedua, kita mempunyai hampir 700 atlet dan apabila bermulanya fasa ketiga pada Disember ini hanya akan tinggal lebih kurang 500 atlet (selepas ujian saringan).

"Apabila masuk fasa ketiga iaitu fasa 1:1 kita akan pastikan persediaan yang lebih mantap dan kemas," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang Kira Detik Setahun Sebelum Sukma 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.

Tambah Rozi, kerajaan negeri tidak bergantung sepenuhnya kepada sukan-sukan yang memberi kelebihan kepada kontinjen Terengganu.

"Setakat ini dimaklumkan kayak dan kanu tidak dipertandingkan dan kita tidak bergantung harap hanya kepada sukan-sukan tersebut.

"Sebab itu kita buat persediaan awal untuk mencapai sasaran sebagai juara keseluruhan. Maka kita telah mengenal pasti beberapa sukan yang baru meningkat naik kepada atlet Terengganu antaranya judo, berbasikal, memanah dan menembak," katanya.

Bagi Sukma 2018, sebanyak 29 acara sukan akan dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan acara sebanyak 430.

No comments: