Kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysia Armed Forces
Parachute Association (MAFPA) serta Malaysia Parachute Association (MYPA) bakal
menganjurkan Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (3rd Terengganu
Challenge 2017) yang akan berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri
Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus bermula 22 hingga 30 September ini.
Sekretariat program, Kapten Amar Abd Aziz berkata, penganjuran melibatkan beberapa kategori itu turut disertai negara luar termasuk pasukan-pasukan tentera.
“Seramai 250 peserta yang terdiri daripada anggota Tentera
Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut Malaysia termasuk 40 peserta daripada
Bahrain, China dan Indonesia.
“Pada kejohanan kali ini, empat kategori dipertandingkan
iaiatu ‘Accuracy Sport’, ‘Accuracy Military’, ‘Formation Skydiving’ dan ‘Canopy
Formation Skydiving’ dengan menawarkan anggaran hadiah keseluruhan berjumlah
USD10,000,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Kejohanan
Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (3rd Terengganu Challenge
2017) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Amar berkata, selain daripada memperkenalkan sukan payung terjun
di kalangan rakyat setempat, ia juga dijadikan sebagai salah satu platform
memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan.
Tambahnya, pelbagai acara sampingan turut dijalankan bagi menarik orang ramai dan peminat sukan ekstrim itu sepanjang kejohanan di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri
Terengganu nanti.
“Pada 22 dan 23 September, kami mengadakan pertunjukan
tempur tanpa senjata manakala pada 28 dan 29 September pula diadakan kawad
senyap oleh pasukan tentera.
“Selain itu, kami turut mengadakan pameran statik aset Tentera
Darat, pameran kerjaya bersama Angkatan Tentera Malaysia serta sesi pengambilan
perajurit muda Tentera Udara,” katanya.
Dalam pada itu, Amar berharap agar orang ramai dapat
meluangkan masa mengunjungi tapak kejohanan untuk menyaksikan sendiri kelainan
serta kejutan yang bakal dipertontonkan nanti.
0 komen: