Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Tukun Tiruan Tingkat Pendapatan Nelayan


Usaha Jabatan Perikanan bekerjasama dengan Petronas bagi melabuhkan tukun tiruan dari pelantar minyak yang dilupuskan menerusi projek Rig To Reef (R2R) di Pulau Kapas, Marang bukan sahaja dapat memulih dan memperkayakan sumber laut malah memberi impak positif dalam meningkatkan pendapatan nelayan.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, melalui kerjasama yang dimeterai selama lima tahun itu, tukun-tukun tersebut akan dilabuhkan dari semasa ke semasa oleh Petronas di kawasan itu.

“Kaedah itu bukan sahaja membantu meningkatkan pembiakan ikan, tetapi memberi faedah secara langsung kepada nelayan sekitar.

“Kebanyakannya mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan kerajaan memperkenalkan inisiatif ini untuk meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai majlis menandata­ngani memorandum persefahaman (MoU) projek Rig To Reef (R2R) antara Jabatan Perikanan dan Petronas di Dataran Marang, baru-baru ini.

MoU yang membawa kepada kepada pelaksanaan program perintis melabuhkan tukun tiruan dari pelantar minyak terpakai di Semenanjung itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Ismail Abu Hassan dan Naib Pre­siden (Pengurusan Petroleum) Pe­tronas, Muhammad Zamri Jusoh.

Sementara itu Zawawi berkata, Jabatan Perikanan juga akan menambah lebih banyak Tukun Tiruan Rekreasi di negeri ini bagi membolehkan tangkapan secara pancingan yang terkawal oleh nelayan di kawasan hanya tiga batu nautika dari persisir pantai.

“Disebabkan terletak lebih hampir dengan pantai, ianya akan memberi kelebihan kepada nelayan untuk menangkap ikan khususnya pada musim tengkujuh,”ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Perikanan memperuntukkan RM10.9 juta bagi pembangunan tukun tiruan di negeri ini sejak 2006.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pembangunan tukun tiruan di 27 tapak melibatkan 1,147 unit tukun itu ditempatkan di Ma Daerah, Rantau Abang, Jambu Bongkok, Kuala Marang, Pulau Bidong, Pulau Kapas, Kuala Terengganu, Teluk Ketapang, Setiu, Besut dan Pantai  Merchang.

Katanya, projek tukun tiruan memberi manfaat kepada 6,500 nelayan tradisional di negeri ini yang turut berjaya mengurangkan aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda di zon berkenaan.

No comments: