Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Panti Asuhan Simpan Kisah Lara Mangsa Tsunami



 Panti Asuhan Islam Media Kasih Banda Aceh ditubuhkan khusus bagi membantu anak yatim, yatim piatu, mangsa penindasan, gempa, tsunami dan korban konflik.

Kejadian gempa bumi dan tsunami di Nangroe Aceh Darussalam tanggal 26 Disember 2004 lalu, amat meruntun jiwa seluruh masyarakat dunia, apatah lagi buat mangsa yang melalui pengalaman ngeri itu sendiri.

Pengurus Panti Asuhan,Nia Daniati Ihsya berkata, pihaknya berusaha untuk membantu mangsa gempa tsunami yang terselamat dengan membuka pusat Panti Asuhan berkenaan di Aceh.

"Hati siapa yang tidak tersentuh untuk berbuat sesuatu menolong antara satu sama lain. Ada yang kehilangan keluarga dan harta benda serta ramai anak-anak yang menjadi yatim piatu.

"Cukup sukar untuk mendapatkan rumah kerana pada masa itu kebanyakan rumah hancur tapi syukur ada insan yang sudi memberi sebuah rumah untuk didiami sementara sehingga kami dapat membina Panti Asuhan sendiri.

"Pada mula ia dibuka, terdapat 50 anak mangsa tsunami yang tinggal di sini dan jumlah itu berkurangan selepas beberapa bulan selepas ada di kalangan mereka menemui kembali ahli keluarga yang terselamat dalam bencana itu,"katanya.

Ibu Nia


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu lawatan ke pusat tersebut sempena program Kembara Media Terengganu Ke Aceh.

Jelas Ibu Nia lagi,kini setelah kesemua anak mangsa tsunami itu telah berjaya dalam kehidupan masing-masing, Panti Asuhan kekal membantu mereka yang memerlukan bantuan seperti anak-anak yatim piatu, terbuang, miskin dan juga korban konflik.

Adik Wahyu


Bagi Wahyu Ulul Amin,17, kejadian tsunami itu masih segar dalam ingatannya dan cukup trauma apabila mendengar bunyi gempa, sehinggakan dia akan mencari tempat yang tinggi untuk menyelamatkan diri.

Bayangkan dalam usianya yang baru mencecah enam tahun, Wahyu kehilangan bukan seorang, tetapi tiga anggota keluarganya termasuk ayah, ibu dan adiknya dalam sekelip mata.

Wajahnya sugul apabila diminta mengimbau kembali kisah duka yang berlaku sewaktu masih kanak-kanak dan belum cukup untuk memahami erti kehilangan yang hakiki.

"Pada hari kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah apabila tiba-tiba berlaku gempa yang pertama. Ayah berpatah balik dan belum sempat apa-apa,ombak tsunami memusnahkan segala-galanya.

"Saya hanya mampu melihat ayah  dan kakak dihanyutkan air manakala saya diselamatkan oleh orang kampung serta dibawa naik ke sebuah gunung selama satu hari.

"Bila air surut, kami turun dari gunung untuk mencari ahli keluarga, malangnya hanya kakak sahaja yang terselamat kerana tersangkut pada pokok. Ayah, ibu dan adik menjadi korban malah jasad mereka tak pernah ditemui sehingga kini,"kata Wahyu.

Dia dibawa ke Panti Asuhan tersebut bersama kakaknya, Riatul Jannah yang pada ketika itu berusia 11 tahun oleh orang-orang kampung selepas mereka kehilangan tempat bergantung.

Bagi mereka yang pernah merasai getir pengalaman itu, ombak tsunami membawa derita yang cukup hiba dan sukar diungkapkan kerana bukan saja memusnahkan harta benda, tetapi gempa dengan kekuatan 9.3 magnitud turut mengorbankan puluhan ribu nyawa.

No comments: