Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Nasi Dagang Terengganu Bakal Tembusi Australia

Ahmad Razif turut turun padang mempromosikan Nasi Dagang Sejuk Beku kepada pengusaha-pengusaha makanan di Australia ketika lawatan kerajaan negeri ke Perth baru-baru ini.


Nasi dagang sejuk beku keluaran T-Kitchen, sebuah anak syarikat Menteri Besar (Terengganu) Incorporated bakal dipasarkan di seluruh Australia menjelang pertengahan tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, usaha tersebut adalah selari dengan hasrat Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk memperkenalkan makanan tradisional tempatan sebagai salah satu produk pelancongan.

"Beliau (Ahmad Razif) berhasrat untuk memperluaskan pemasaran nasi dagang sejuk beku di seluruh Australia, di mana terdapat pelajar-pelajar Malaysia sebagai agen promosi pelancongan negeri yang tidak langsung.

"Ini kerana pelajar-pelajar kita pada masa yang sama mampu memperkenalkan tempat-tempat menarik yang ada di Terengganu di samping makanan enak yang terdapat di negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tun Ahmad Faisal berkata salah satu daya tarikan untuk membawa pelancong ke Terengganu sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 ialah produk makanan yang enak serta unik.

Tambahnya, nasi dagang menjadi pilihan untuk dipasarkan di luar negara kerana ia sudah menjadi sinonim dengan nama Terengganu itu sendiri.

"Ke mana sahaja kita pergi, sebut sahaja negeri Terengganu, orang pasti akan menyebut tentang nasi dagang.

"Kalau Sarawak terkenal dengan mee kolok dan laksa Sarawak, Terengganu terkenal dengan nasi dagang dan kerepok lekor," ujarnya lagi.

Katanya, di samping nasi dagang sejuk beku, kerepok lekor sejuk beku juga mendapat permintaan yang tinggi.

Tambah Tun Ahmad Faisal, selain daripada pembungkusan yang menarik serta mempromosikan tempat-tempat pelancongan dalam Terengganu, terdapat beberapa produk makanan lain lagi yang dicadangkan untuk dieksport ke luar negara.

"Namun, produk-produk itu masih dalam peringkat kajian sepertimana yang diarahkan oleh menteri besar supaya ia tahan lama untuk disimpan dan enak dimakan bagi menjaga kualiti yang bagus," katanya lagi.

No comments: