Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Terengganu Tarik Pelaburan RM29.4 Bilion, Wujud Lebih 30,000 Peluang Kerja



Terengganu terus memacu transformasi sosioekonomi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Dato’ Jebasingam Issace John berkata, antara tahun 2007 hingga 2016, Terengganu telah meraih RM29.4 bilion pelaburan domestik dan asing, sekaligus mewujudkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, pelaburan yang kukuh itu dijana oleh pertumbuhan pesat dalam sektor pembuatan, yang telah menyumbang 51.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan diikuti sektor bioekonomi sebanyak 22.6 peratus.

“Transformasi Kuala Terengganu City Centre (KTCC) berjalan lancar dengan kerja-kerja pembinaan sedang rancak dilaksanakan.

“Jambatan angkat atau “drawbridge” yang menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara di KTCC dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat pelaksanaan dan penyelarasan ECER negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Pejabat ECER Kuala Terengganu.

Selepas mesyuarat itu, turut diadakan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 kepada 25 peserta Empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang.

Katanya, kerja-kerja pembinaan jambatan angkat sepanjang 632 meter itu telah bermula 2014 dan akan diapit oleh dua menara yang masing-masing menempatkan sebuah restoran eksekutif serta dek tinjauan dan sebuah galeri.

Menurut beliau, kesalinghubungan antara KTCC dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan dipertingkatkan menerusi pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang 6.8 kilometer yang akan bermula pada suku kedua 2017.

Selain itu katanya, antara projek yang sedang dilaksanakan di KTCC termasuklah projek pembangunan bercampur bernilai RM2.4 bilion oleh Tiara View Housing Development Sdn Bhd.

“Projek ini merangkumi sebuah hotel, pangsapuri servis, rumah dan pejabat di bawah satu bumbung (SOHO), pusat beli belah dan taman tema yang bakal dibangunkan di kawasan seluas 3.8 hektar.

“Fasa pertama kerja pembinaan akan bermula pada suku kedua 2018 dan keseluruhan projek ini dijangka siap menjelang 2024, dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk penduduk tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, Taman Biopolimer Kertih (KBP) telah menarik pelaburan sebanyak RM6.8 bilion dan mewujudkan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Dua syarikat antarabangsa terkemuka, CJ CheilJedang dari Korea Selatan dan Arkema dari Perancis telah memulakan operasi di KBP dengan mengeluarkan asid amino L-methionine berasaskan bioteknologi hijau pertama di dunia yang kebanyakkannya diguna pakai di dalam produk suplemen semulajadi,” ujarnya.

Menurut beliau, sebuah lagi Taman Industri di Terengganu iaitu Taman Industri Berat Kemaman (KHIP) pula telah menarik pelaburan berjumlah RM5.5 bilion daripada tiga pelabur utama iaitu Eastern Steel Sdn Bhd., Perwaja Steel Sdn Bhd. dan Tosoh Corporation dari Jepun sekaligus menyediakan hampir 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.

Sementara itu katanya, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer juga dijangka akan mewujudkan lebih banyak pusat pertumbuhan di seluruh Terengganu serta merangsang ekonomi dan sektor pelancongan negeri, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Pelaburan oleh syarikat bumiputera turut menjadi penggerak penting kepada pertumbuhan sosioekonomi Terengganu, yang mana 57 projek bumiputera bernilai RM3.7 bilion telah menerima sama ada insentif cukai daripada ECERDC, geran Teraju@ECER atau kedua-duanya sekali.

“Daripada jumlah ini, 41 projek bumiputera dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan bernilai RM736.4 juta, telah menerima manfaat daripada Dana Mudahcara Teraju@ECER berjumlah RM101.2 juta,” katanya.

No comments: