Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Peserta Program Empower ECER Ditambah Seluruh Terengganu

Beberapa pelajar yang diraikan sempena bersama tetamu kehormat di Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 kepada 25 peserta Empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang di Pejabat ECER Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail.

Kerajaan negeri berhasrat menambah bilangan peserta program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di setiap daerah di negeri ini bagi meningkatkan pres­tasi akademik pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menerusi inisiatif program pembangunan modal insan yang dilancarkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 2010, pelaksanaan program latihan akademik itu menyasarkan pelajar yang berprestasi lemah dan sederhana.

“Ketika ini, setiap daerah mempunyai lebih kurang 200 peserta daripada keluarga kumpulan berpendapatan B40 dan untuk tahun ini kerajaan negeri dengan kerjasama ECER akan meneruskan program ini dengan menambah lebih ramai bilangan pelajar di setiap daerah.

“Secara tidak langsung, dengan penambahan peserta program ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah kemiskinan yang membelenggu keluarga peserta dengan memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak mereka,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 kepada 25 peserta Empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang di Pejabat ECER Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Sementara itu, Ahmad Razif turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ECER kerana program Empower yang diperkenalkan itu banyak membantu meningkatkan keputusan peperiksaan awam di Terengganu termasuk SPM.

“Saya bangga kerana 25 orang pelajar hari ini menerima pengiktirafan di mana mereka ini terdiri daripada golongan keluarga B40.

“Yang mana, kalau ikut keadaan biasa memang sukar untuk mereka berjaya kerana tiada kemudahan dan kelengkapan seperti pelajar lain, tetapi atas inisiatif ECER program Empower ini telah membuka peluang para peserta sekaligus berjaya menunjukkan peningkatan prestasi akademik,” ujarnya.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan terus membantu pelajar-pelajar ini termasuk menerusi kerjasama dengan beberapa universiti negeri ini yang akan menawarkan tempat untuk mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kerajaan negeri dan ECER akan bantu pelajar ini untuk menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian yang sewajarnya kerana yang paling mustahak mereka ini berjaya dan dapat keluarkan keluarga daripada kemiskinan.

“Jika mereka berminat untuk meneruskan pelajaran di pusat-pusat pengajian di negeri ini tiada masalah, tetapi terpulang kepada pelajar untuk tentukan apa yang mereka minat,” ujarnya.

No comments: