Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Warga Emas Perlu Hak, Peluang Dan Akses Yang Sama - Roslee

Roslee Daud bersama penghuni di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Marang. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan golongan warga emas, pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2016 yang diadakan di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Marang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud berkata jasa dan budi mereka memang tidak dapat disamakan dengan nilai dan wang ringgit.

Katanya, program yang diadakan sempena hari warga emas itu sekurang-kurangnya dapat menghargai segala pengorbanan mereka selama ini.

“Disamping itu, program yang diadakan ini juga diharapkan dapat membentuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warga emas terutamanya hak, peluang dan akses yang sama supaya mereka tidak merasa tersisih selain turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2016 di Marang, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Rusmi Mahmood, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Saharuddin Mohd Kia dan Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas Marang, Nordin Abu Hassan.

Dalam pada itu, Roslee berkata dengan kewujudan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) diharapkan dapat memberi ruang dan peluang kepada warga emas untuk menjalani pelbagai aktiviti.

“Di Terengganu, terdapat lima buah Pawe dengan keahlian seramai 1,044 orang peserta dengan peruntukan sebanyak RM166,650 sepanjang tahun 2016.

“Selain memberi peluang kepada warga emas menjalani aktiviti di Pawe, ianya juga adalah bagi memperkasakan mereka di bawah Economic Empowerment Program (EEP) bagi memberi peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi,” katanya.

Mamat Abdullah

Pada majlis yang sama,  Mamat Abdullah, 115, telah dianugerahkan sebagai Warga Emas Tertua (Lelaki) manakala Nik Abas, 116, pula menerima anugerah bagi kategori perempuan.

Bagi Anugerah Pawe terbaik pula, Pawe Marang yang telah memulakan operasinya sejak 2001 memenangi anugerah berkenaan.

No comments: