Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Terengganu Mahu Tebus Kegagalan, Julang Piala Emas Raja-Raja


Selepas tewas di peringkat separuh akhir sejak tiga edisi terakhir, bagi musim ini, Terengganu nekad menebus kegagalan untuk mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2016 yang bakal membuka tirainya pada Jumaat ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT), Dato’ Mazlan Ngah berkata, bagi edisi ke-76 ini, beliau mengharapkan persembahan terbaik dan mampu mencipta kejayaan pada musim ini.

“Kita akan beri tumpuan dalam perlawanan di peringkat kumpulan dahulu sebelum mara ke pusingan seterusnya.

“Sebagaimana tahun lepas, kita tewas di peringkat separuh akhir namun bagi edisi kali ini kita sasar ke pusingan akhir kerana sudah lama Terengganu tidak menjulang Piala Emas Raja-Raja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Tajaan Kepada Pemain Terengganu di Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, ketua jurulatih pasukan tersebut, Subri Sulong berkata walaupun hanya sempat melakukan persediaan dalam masa yang pendek ianya bukan penghalang untuk mara ke pusingan akhir dalam kejohanan edisi ke-76 tersebut.

“Seramai 20 pemain telah dipanggil untuk kejohanan kali ini termasuk beberapa tonggak skuad Piala Presiden, Hanelang FC dan tiga pemain negeri yang beraksi bersama Shahzan Muda.

“Meskipun hanya mula berkumpul dan menjalani latihan sejak dua minggu yang lalu, persiapan kami tetap berjalan baik. Aspek kecergasan lebih ditekankan pada peringkat awal latihan dan keserasian para pemain mula terserlah melalui lima perlawanan persahabatan yang diadakan setakat ini,” katanya.

Subri berkata, dengan kehadiran beberapa tonggak utama dalam pasukan senior diharapkan dapat menguatkan skuad tersebut.

“Kekuatan pasukan ini agak seimbang di semua posisi kerana diperkuatkan pemain-pemain yang bersama skuad senior Terengganu tetapi itu tidak memberi kelebihan atau tekanan kepada kami.

“Kehadiran pemain skuad senior Dhiyaulrahman Hasry serta penyerang utama skuad Piala Presiden Mohd Azrean Abdul Aziz dan Mohd Haidhir Suhaini yang akan mengetuai bahagian serangan dijangka mampu menyengat,” katanya.

Bagi edisi ke-76 yang akan berlangsung bermula Jumaat ini di Kuala Lumpur, Terengganu berada dalam Kumpulan C bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur dan Kedah.

No comments: