Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Sidang DUN : Enam Projek Cegah Hakisan RM681 Juta Dalam RMK-11


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman memberitahu hasil kajian mengenai ancaman hakisan negara oleh ‘National Coastal Erosion Study’ mengenalpasti enam lokasi berisiko mengalami hakisan di sepanjang perairan Terengganu.

Katanya, bagi mencegah kejadian itu, enam projek pemuliharaan akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM681 juta.
“Enam projek itu ialah pemuliharaan muara di tiga sungai iaitu Sungai Paka di Dungun (RM150 juta), muara Sungai Merchang di Marang (RM43 juta), muara Sungai Setiu (RM150 juta) dan projek naik taraf ban pantai lagun di Gong Batu dekat Setiu (RM10 juta).
“Selain itu ialah projek mencegah hakisan di pantai Tok Jembal fasa dua di Kuala Nerus sebanyak RM89.5 juta dan projek pemuliharaan sambungan fasa pertama dan fasa kedua di Sungai Besut sebanyak RM238.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) mengenai persediaan kerajaan dalam berdepan ancaman hakisan pantai pada masa akan datang.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM 6.6 juta sejak 2013 untuk mengatasi masalah hakisan di sepanjang perairan pantai negeri ini.
Rosli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik berkata, hasil lawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada awal tahun lalu, telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM16 juta bagi melaksanakan enam projek mencegah hakisan pantai di negeri ini.
“Antaranya pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus dengan kos sebanyak RM3.9 juta; Pantai Rusila, Marang (RM3.1 juta);  Pantai Kemasik, Kemaman (RM2.6 juta); Pantai Teluk Lipat, Dungun (RM4.2 juta); Pantai Bukit Keluang, Besut (RM1.5 juta) dan Pembaikan Hakisan Pantai Gong Batu, Setiu Fasa Satu dan Dua menelan kos sebanyak RM1 juta,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri juga mengambil langkah membentuk satu jawatankuasa dalam usaha menangani isu hakisan pantai yang kerap berlaku setiap kali musim tengkujuh yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.
“Jawatankuasa yang dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat daerah dan beberapa jabatan lain ini bertindak secara berterusan memantau keadaan di sepanjang pantai Terengganu.
“Pemantauan dibuat bagi mengenalpasti kesan dan punca serta ramalan akan datang tentang keadaan atau hakisan pantai yang ada pada satu-satu kawasan dan sebarang maklumat akan disalurkan kepada agensi atau jabatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


.

No comments: