Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Penduduk Kemaman Lebih Bersedia Hadapi Banjir

Seorang penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi musibah banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Gambar oleh Tg Syamim Tg Ismail

Penduduk di beberapa kawasan di Kemaman mula membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir akibat air pasang besar yang diramal berlaku pada 14 November ini.

Tinjauan Teganukita di Kampung Pasir Gajah, Chukai dan Air Putih yang terjejas teruk akibat bencana alam itu pada 2013 dan 2014, mendapati penduduk mula memindahkan barang-barang terutama dokumen penting ke tempat lebih tinggi di dalam rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Pasir Gajah, Badrul Hisyam Jusoh berkata, majoriti penduduk kampung membuat persiapan awal dengan membina ruang khas untuk meletakkan barangan yang mudah rosak seperti perkakasan elektrik di tempat tinggi dan sebahagiannya pula sudah tersedia tempat penyimpanan barangan yang dibina selepas kawasan perkampungan itu terjejas teruk akibat banjir sebelum ini.

“Dalam kejadian banjir pada 2013, kira-kira 1,000 daripada 2,130 penduduk kampung ini terlibat dengan bencana banjir dan terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan. Suasana ketika itu sangat kelam-kabut. Pada masa yang sama, sistem telekomunikasi turut terjejas menyebabkan kesukaran untuk berhubung.

“Kini, penduduk masih lagi trauma dengan bencana banjir besar yang pernah berlaku apabila harta benda musnah menyebabkan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun ini,” ujarnya kepada Teganukita.

Seorang penduduk, Rosli Yusoff, 50, berkata, oleh kerana ketika banjir melanda dia tiada di rumah,  semua perkakasan musnah dan dia hanya tinggal sehelai sepinggan tanpa sempat menyelamatkan apa jua barangan.

“Mujurlah ketika kejadian kedua orang tua saya sempat dibantu orang kampung untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

“Saya turut bersyukur kerana dengan keprihatinan kerajaan, pelbagai bantuan dalam bentuk makanan, keperluan asas dan sebagainya sampai dalam masa yang cepat kepada mangsa banjir di kawasan ini  termasuk keluarga saya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nazri Othman, 45, berharap bencana banjir tahun ini tidak seteruk tiga tahun lalu.

“Kami, penduduk kampung sentiasa dalam keadaan berwaspada dan berjaga-jaga. Bila masuk musim tengkujuh, kita terpaksa mengangkat barang-barang ke tempat lebih tinggi memandangkan telah ada pengalaman menghadapi bencana banjir yang teruk,” ujarnya.


Zaharah Umar, 69, dari Air Putih pula mengakui, telah membuat persiapan awal kerana air selalunya naik dengan cepat setiap kali musim tengkujuh sehingga menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan barang-barang seperti yang pernah berlaku pada 2013.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, dia telah meletakkan semua dokumen penting serta barangan yang perlu dibawa di tempat yang mudah diambil, manakala selebihnya di tempat tinggi sekiranya berlaku banjir.

“Memang kawasan rumah makcik selalu dinaiki air setiap kali banjir tetapi tidak teruk. Pada tahun 2013 memang makcik tidak akan lupa apabila rumah hanya nampak bumbung dan semua barang tidak dapat diselamatkan.

“Makcik ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kerana banyak bantu kami mangsa banjir termasuk bagi bantuan kewangan, barangan elektrik dan sebagainya. Tanpa bantuan daripada kerajaan mungkin sukar untuk kami mulakan hidup baru,” katanya yang masih sukar untuk melupakan detik cemas berdepan musibah banjir waktu itu.

No comments: