Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Enam Daripada 20,528 Calon SPM Duduki Peperiksaan Di Hospital

Daripada seramai  20,528 calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu yang bermula hari ini, enam daripada mereka  terpaksa menjalani peperiksaan itu di tiga hospital negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman berkata, empat calon peperiksaan berkenaan kini dirawat di  Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan masing-masing seorang calon di Hospital Dungun dan Hospital Hulu Terengganu.

Beliau yang diiringi pegawai Jabatan Pendidikan Negeri  Terengganu meluangkan masa melawat calon-calon berkenaan di HSNZ, sambil memberikan kata-kata semangat sebelum peperiksaan itu bermula.

Seorang calon dari Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Abbas, Nur Syafirah Abdul Rahman, 17, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana sakit belakang, berkata dia sudah bersedia menempuhi peperiksaan itu dan akan menjawab dengan tenang tanpa menjadikan penyakitnya sebagai halangan untuk fokus kepada setiap soalan peperiksaan.

"Saya belajar dengan dibantu rakan dan guru yang selalu datang ke sini selain ada juga menghubungi menerusi telefon bagi mengulangkaji pelajaran.

“Peluang yang ada saya manfaatkan dengan sepenuhnya untuk membuat latihan dan mengulangkaji termasuk membuat rujukan dengan guru di hospital jika tidak memahami mana-mana subjek SPM  ini dengan baik," katanya.

Sementara Nur Dayana Izzati Mohd Fauzi, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, pula berkata kecederaan akibat terjatuh di asrama dua minggu lalu menyebabkan dia terpaksa menempuhi peperiksaan di hospital.

"Saya kini tidak mampu bergerak dan bangun seperti biasa akibat mengalami keretakan di bahagian tulang belakang. Doktor memasang peralatan khas di badan saya sebagai sokongan, Alhamdulillah kini saya boleh duduk dengan lebih selesa walaupun tidak mampu lagi berjalan seperti biasa,”katanya.


Seorang lagi calon peperiksaan itu, Muhammad Fitri Rahman Mohd Fauzi, 17, berharap dapat menjalani peperiksaan yang bakal berakhir 5 Disember ini dengan tenang dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya tanpa sebarang halangan.

“Saya mula dirawat sejak 8 Oktober lagi, apabila mengalami patah tulang paha selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.

“Mujurlah kecederaan saya tidak serius dan dapat  menduduki peperiksaan ini, walaupun sedikit terjejas akibat kesakitan yang dialami ini,”katanya.
   



No comments: