Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

3,456 Penerima Nikmati Manfaat Tabung Darul Iman Dari Februari Hingga Oktober


Kerajaan negeri membelanjakan hampir RM5.4 juta kepada 3,456 penerima menerusi Tabung Darul Iman (TDI) sejak Februari hingga Oktober lalu.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM2.6 juta untuk kegunaan bantuan sara diri tahunan, RM1.2 juta untuk bantuan perubatan, RM1.3 juta bantuan bencana alam serta RM171,000 lagi untuk bantuan susu dan lampin pakai buang.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sebanyak 4,000 permohonan lagi sedang diproses dan menunggu kelulusan segera. 


"Permohonan daripada mereka yang datang dari pelbagai latar belakang ini akan meningkat setiap tahun. Namun, apa yang pasti, setiap wajah ini akan tersenyum, bahkan ada yang menangis terharu apabila diberi bantuan.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan meneruskan agenda menjaga kebajikan rakyat melalui peruntukan tahunan Tabung Darul Iman. Tetapi Kerajaan juga percaya, ramai di kalangan rakyat yang berkemampuan, turut ingin menderma dan bersedekah sebagai amal jariah mereka di samping mengharap balasan syurga semata-mata,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen `Seikhlas Kasih Sejuta Harapan', di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.



Ahmad Razif berkata, untuk hari permulaan kempen itu, kerajaan negeri berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM2.5 juta daripada 11 anak syarikat kerajaan negeri termasuk Terengganu Incorporated Sdn Bhd (RM1 juta), Kumpulan Permodalan Terengganu Berhad (RM500,000), Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (RM300,000), Ladang rakyat Trengganu Sdn Bhd (RM300,000) dan TDM Berhad (RM250,000).

Beliau sebelum itu mengumumkan pemotongan akaun gaji beliau berjumlah RM1,000 sebulan untuk disumbangkan kepada TDI.
Katanya, beliau selaku pemimpin negeri mengajak dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat Terengganu, khususnya kepada penjawat awam negeri untuk berkongsi kesusahan dengan mereka yang berdepan musibah. 

Selain itu, sehingga Oktober 2016, kerajaan negeri mengumpul sebanyak RM7,654 hasil sumbangan orang ramai, khasnya daripada penjawat awam. 

Tambahnya, beliau percaya, jumlah itu boleh ditingkatkan lagi berdasarkan kesedaran dan komitmen semua pihak yang sentiasa prihatin dan bertanggungjawab sesama insan yang memerlukan.

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri mengagihkan borang pemotongan gaji kepada penjawat awam yang berminat untuk menderma secara tetap.


"Bagi yang tidak berminat untuk membuat pemotongan gaji, bolehlah menderma secara terus ke akaun Maybank Tabung Darul Iman yang maklumatnya akan kita hebahkan.

"Diharap sumbangan yang anda beri sedikit sebanyak dapat membantu penerima bantuan. Biarlah sedikit asalkan ianya ikhlas, biarlah memberi jangan kita mengharap balas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang mewujudkan satu program yang dipanggil Terus Tukar Baucer (TTB) dengan memberi baucer kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi mereka mendapatkan barangan asas dengan potongan harga di pasaraya - pasaraya yang terlibat dalam program ini.  

Menurut beliau lagi, diharap program ini dapat dilaksanakan sebagai satu cara untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung rakyat ekoran kos harga barang yang meningkat.


No comments: