Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

UMNO Gagal Jika Tiada Nilai Moral Seperti Dituntut Al-Quran - MB

Ahmad Razif menyampaikan hadiah kepada pemenang johan Tilawah al-Quran, Faridah Omar dari Besut. Foto oleh Zulkipli CW Putra.


UMNO akan menjadi sebuah parti politik yang berdepan kegagalan jika ahli-ahlinya tidak menerapkan disiplin diri serta nilai-nilai moral tinggi sebagaimana dituntut dalam al-Quran.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara aspek terpenting yang terkandung di dalam al-Quran adalah perpaduan yang menjadi tunjang kepada kekuatan ummah.

Beliau yang juga Menteri Besar, berkata, jika tiada semangat perpaduan tinggi kalangan
ahli-ahli UMNO, parti itu sudah pasti akan kehilangan kekuatan yang akhirnya membawa kepada kekalahan dalam perjuangan.

"Al-Quran banyak tekankan soal perpaduan kerana ia merupakan tunjang kekuatan ummah. Jika perpaduan kalangan kita (ahli UMNO) lemah, sudah pasti kita akan kehilangan kekuatan dan akhirnya kita akan kalah," katanya.

Ahmad Razif menyatakan demikian selepas merasmikan majlis Tilawatul Quran dan Marhaban Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang anjuran Pergerakan Wanita UMNO, di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang.

Turut hadir, isteri beliau, Halina Zakaria; Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Fatimah Hamat;  Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang serta Ketua Wanita UMNO Bahagian itu, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Menteri Besar juga meminta ahli-ahli UMNO khususnya di Terengganu supaya sentiasa berpegang kepada petunjuk al-Quran dalam perjuangan.

"Itulah benteng paling teguh, selagi kita berpegang kepadanya (al-Quran), kita tidak akan sesat.

"Sebaliknya kita akan sentiasa kukuh dan harmoni. Perjuangan dalam politik amatlah berat dan penuh dengan dugaan serta cabaran. Oleh itu kita perlu jaga imej dan pertahankan nilai-nilai moral dalam parti," ujarnya lagi.


Ahmad Razif turut berharap agar menerusi program-program keagamaan seperti pertandingan marhaban dan tilawah itu, UMNO terus teguh dalam mencapai matlamat melahirkan umat yang makmur dan sejahtera.

Dalam majlis itu, kumpulan marhaban dari Marang yang dikenali sebagai kumpulan Al-Wadiah muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000  manakala naib johan disandang Kumpulan Nur Hidayah (Setiu) (RM1,500) dan Nur Hidayah, Hulu Terengganu pula tempat ketiga (RM1,000). 

Johan tilawah pula disandang oleh Faridah Omar dari Besut dengan menerima wang tunai RM1,000, diikuti Fatimah Embong dari Kuala Nerus (naib johan) dan Tuan Aminah Wan Endut dari Hulu Terengganu (ketiga). Fatimah dan Tuan Aminah masing-masing menerima hadiah RM800 dan RM500.


No comments: