Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Tarikan Sungai Kodok, Hulu Terengganu Mampu Jadi Produk Pelancongan


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang komited untuk menjadikan Sungai Kodok, Paloh di Kampung Langgar dan lokasi sekitarnya sebagai produk eko pelancongan terbaharu di Hulu Terengganu selewatnya pada 2017.
Tengku Putera Tengku Awang berkata kawasan tersebut terletak di perkampungan tradisional Melayu dengan keistimewaan alam semula jadi dan landskap menarik.
"Terdapat tasik asli berbentuk paloh seluas kira-kira 6.4 hektar yang berpotensi dimajukan sebagai kawasan pelancongan inap desa yang semakin digemari pelancong dari dalam dan luar negara.
"Strategiknya kawasan ini kerana punyai dusun buah-buahan, jadi akan ada aktiviti yang menyeronokkan kepada pelancong yang datang termasuklah mengail ikan air tawar di tasik," kata beliau kepada Teganukita ketika ditemui selepas program Fiesta Panjat Duku dan Makan Duku di Kampung Langgar, semalam.


Menurut Tengku Putera lagi, banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di kampung tersebut antaranya seperti memancing di sungai berkenaan dan menyusuri persekitarannya dengan berkayak.
"Berbekalkan udara yang nyaman, kawasan yang dipenuhi pohon buah-buahan itu juga pastinya akan memberikan pengalaman berbeza kepada setiap pengunjung berbanding dengan percutian di tempat lain.
"Malah di situ juga, pengunjung dapat turut sama menikmati buah-buahan seperti durian, duku dan manggis pada setiap kali musim buah-buahan," katanya.
Tengku Putera berkata, pusat pelancongan ini akan dibangunkan melalui Koperasi Kampung Langgar dengan kerjasama pemaju-pemaju yang terlibat selewatnya pada tahun depan.
Tambahnya, perancangan merealisasikan hasrat itu termasuklah membina pusat-pusat penginapan ala kampung, chalet terapung, restoran terapung, tempat mengail bagi kaki pancing, pusat kraftangan dan juga inap desa.
"Uniknya juga Kampung Langgar ialah sejarahnya yang mana pernah menjadi tempat persinggahan dan pusat ilmu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin yang pertama di Tanjung Baru. Jadi semua ini akan kita hidupkan balik sejarahnya melalui pembinaan semula kawasan yang terlibat.
"Kita mahu orang yang datang rasa seronok bila melancong ke sini dan beritahu kepada orang lain tentang kehebatan pusat pelancongan ini supaya ianya akan terus menjadi viral sekaligus membantu mempromosikannya di media sosial,"ujarnya lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga boleh menyenaraikan kawasan ini dalam peta pelancongan negeri supaya orang luar tahu kewujudan tempat ini sekali gus membantu dapat menambah pendapatan penduduk setempat.

No comments: