Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Silat Kura-Kura Serlah Kehalusan Seni Budaya Rakyat Hulu Terengganu




Gerak tari yang sangat teratur dan 'menawan', bahkan lenggok badan penuh gemalai ketika menarikan silat kura-kura, menggambarkan kelembutan dan kehalusan seni budaya rakyat di Hulu Terengganu.
Guru Silat Kura-kura, Mohd Yatim Isa,74, berkata, gerak tari seni silat ini hanya masih wujud di Kampung Menerong, Hulu Terengganu dan kini mula mendapat perhatian sama ada dalam atau luar negeri.
"Asalnya persembahan seni silat kura-kura ini dimainkan ditempat berpasir sama ada di tepi sungai atau di tepi pantai. Dahulunya, seikat pisang akan digantung ditempat persembahan.
Menurut Yatim, gelagat ingin merebut pisang tersebut dengan pelbagai aksi gerakan siku lengan, lenggok kepala dan muncung mulut merebut pisang itu menjadikan persembahan tersebut melucukan.
Tambahnya lagi, satu perkara yang menarik mengenai seni silat ini apabila rekaan baju kumpulan silat berbentuk seperti kulit cengkerang kura-kura.
"Seni warisan bangsa ini mestilah dipelajari supaya tidak pupus ditelan zaman. Ia merupakan tarian yang sangat unik dan memerlukan minat serta kepakaran yang tinggi untuk dipersembahkan,"katanya kepada Teganukita/The Iman Tribune ketika ditemui di Kampung Menerong, baru- baru ini.
Yatim kini banyak menghabiskan masa untuk mengajar seni silat kura-kura di rumahnya sekiranya tiada undangan untuk membuat persembahan.
Dia kini mempunyai lapan orang pelajar terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak.


Bagi Mohd Pawi Tambun,56, seni silat ini adalah sebahagian daripada maruah orang Melayu serta melambangkan ketinggian akal budi dan kecerdasan minda bangsa Melayu sejak zaman-berzaman.
Beliau yang mula mempelajari seni silat ini sejak berusia 15 tahun kerana minat yang mendalam dalam persilatan di samping ingin memastikan warisan ini tidak pupus di kalangan masyarakat sekarang.
"Apabila gendang dipalu, saya seolah diserap ke dalam muzik dan membuatkan saya berada dalam keadaan tidak sedar dan berhalusinasi serta membayangkan keadaan sebenar seolah-olah kamilah sang kura kura yang ada di persekitaran.
"Kalau diikutkan, keadaan itu menampakkan lenggok silat kura-kura yang semula jadi kerana lebih menjiwai karakter tersebut. Oleh sebab itulah ia mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri,"katanya.
Katanya, kini masih ada dalam kalangan anak-anak muda yang sudi mempersembahkan kesenian tradisional Melayu yang merupakan tarian yang sangat unik serta memerlukan minat dan kepakaran yang tinggi untuk dipersembahkan.
Minat dan potensi itu dapat dilihat pada adik Mohammad Azizul Hakimi,15, yang sanggup meluangkan masa tiga kali seminggu untuk mempelajari silat ini bersama-sama rakannya yang lain.
Beliau berkata, masyarakat pada hari ini harus berjuang mempertahankan satu kesenian bangsa yang semakin pupus zaman ditelan arus kemodenan.
"Silat ini mempunyai kesenian yang mendalam sekali gus melambangkan ciri-ciri kemelayuan yang sangat tinggi, melihat lenggok dan gerak-gerinya saja pasti akan terpukau,"kata Azizul lagi

No comments: