Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Serlah Bakat Luar Biasa Golongan Kurang Upaya - Halina

Pertandingan Bakat Kesenian Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Terengganu 2016 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, semalam dapat memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik mengetengahkan bakat luar biasa yang ada pada mereka.

Yang Dipertua Serikandi, Halina Zakaria berkata, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) tersebut merupakan program tahunan yang sering dilakukan sebagai mengiktiraf dan menyanjung golongan itu yang mampu menonjolkan diri dalam masyarakat.

Beliau berkata, pertandingan tersebut dianjurkan bertujuan untuk menyerlahkan bakat kesenian golongan itu, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelebihan yang ada pada mereka.

“Selain itu, pertandingan ini juga dapat mengiktiraf bakat yang dimiliki oleh golongan OKU dan seterusnya menjadi sumber kepada pendapatan mereka.

“Ia juga dilihat telah memberi kesan kepada kemajuan golongan OKU terutama dalam menonjolkan bakat kepada orang ramai. Sekiranya bakat kesenian mereka terus digilap dan diketengahkan,  tidak mustahil untuk mereka dikenali dan berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.

Seramai 340 orang terdiri daripada peserta, penyokong dan penyelia serta petugas pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) melibatkan diri dalam pertandingan tersebut.
 


Tambahnya, Serikandi akan terus memberi sokongan dalam bidang-bidang yang diceburi oleh OKU termasuk dalam bidang bakat kesenian.

“Saya berharap agar bakat kesenian golongan OKU ini akan terus digilap serta diketengahkan menerusi pertandingan sebegini selain dijadikan sebagai tempat bermulanya kelahiran bakat-bakat seni yang bermutu, dikenali, dan dihormati di Malaysia, seterusnya pada peringkat antarabangsa.

“Serikandi juga akan terus melaksanakan program yang dapat mempersiapkan golongan OKU ini untuk hidup berdikari dalam kalangan masyarakat. Ia bukanlah peranan yang dimainkan oleh seseorang individu atau sesebuah keluarga sahaja tetapi haruslah dilaksanakan secara kolektif oleh seluruh masyarakat,” katanya.

No comments: