Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Ikan Baung Menu Istimewa `Bawah Tasik’

Ikan baung masak asam pedas tempoyak menu istimewa di Restoran Aroma Kampung BJKB

Sinonim dengan jolokan 'Bandar Di Bawah Tasik', Kuala Berang merupakan syurga hidangan ikan sungai dan ikan air tawar terutama baung yang sangat enak dijadikan gulai selain asam pedas tempoyak.
Bagi segelintir masyarakat, hidangan ikan baung mungkin asing namun bagi penduduk di sekitar Kuala Berang, Hulu Terengganu ikan berkenaan amat popular di daerah itu.
Keenakan dan kelembutan isinya menjadikan ikan baung mendapat permintaan tinggi dan mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa ketagih untuk menikmatinya berulang kali.
Selain baung, ikan kelah, lampam, patin dan keli turut ditawarkan di kebanyakan kedai makan dan restoran sekitar Kuala Berang dengan bekalan biasanya diperoleh dari Tasik Kenyir dan penduduk sekitar.
Menyedari hakikat keistimewaan ikan baung, seorang peniaga Siti Fatimah Kassim memilih untuk menyediakan hidangan ikan baung masak asam pedas tempoyak sebagai juadah utama kepada para pelanggan di restorannya.



Restoran Aroma Kampung BJKB milik Siti Fatimah yang terletak di Lot5411-1A, Kedai Kampung Gaung, Kuala Berang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dari 11 pagi dan akan ditutup sehingga semua menu berasaskan ikan sungai habis dijual biasanya antara pukul 4 hingga 5 petang.
Menurut Siti Fatimah, restorannya menjual pelbagai jenis ikan sungai, namun yang paling popular ialah ikan baung masak asam pedas tempoyak yang dijual antara RM3 hingga RM4 seketul.
“Ikan baung paling laris di sini, ramai pelanggan yang singgah cari menu ini dan waktu kemuncak kira-kira jam 1 petang di mana ramai kakitangan kerajaan dan swasta yang bekerja berdekatan datang untuk menikmati hidangan tengahari.
“Selain itu, begedel telur ikan merupakan menu istimewa yang menjadi pilihan orang ramai tetapi tidak setiap hari kami menyediakan hidangan ini kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan,” ujarnya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu.



Siti Fatimah berkata, pelanggannya turut terdiri daripada penggemar ikan sungai dari seluruh negeri dan sanggup ke kedainya bagi menikmati lauk-pauk istimewa yang sukar ditemui di tempat lain.
"Kami kadang-kadang turut menerima pelanggan yang datang dari luar Terengganu dan akan memastikan bekalan sentiasa ada supaya tidak menghampakan pelanggan yang datang dari jauh semata-mata mahu menikmati hidangan kegemaran," katanya yang dibantu 11 pekerja dari kalangan saudara-mara.
Katanya, pelbagai jenis ulaman disediakan seperti pegaga, timun, pucuk gajus, ulam raja, petai serta jering dihidangkan bersama budu, sambal tempoyak atau sambal belacan bagi melengkapkan hidangan ikan baung masak asam pedas tempoyak.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu terdapat juga masak lemak putih belimbing buluh, ikan singgang, kerisi panggang, lampan goreng, kerabu rebung dan pelbagai lagi hidangan yang pastinya memikat selera.

No comments: