Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

RM1.5 Juta Insentif Buat Atlet Sukma Sarawak

Kerajaan negeri terus mengiktiraf kecemerlangan atlet Terengganu apabila memperuntukkan lebih RM1.5 juta sebagai insentif kemenangan di Sukan Malaysia(Sukma) pada edisi ke-18 Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, walaupun tidak berjaya menjadi juara keseluruhan dalam temasya tersebut dan sekadar menduduki tempat ketiga, kem Terengganu masih mampu mengatasi Wilayah Persekutuan yang menjadi juara Sukan itu pada 2014.

Tambahnya, selain dari insentif yang telah diberikan pada majlis itu, Terengganu turut memperuntukkan insentif segera kepada pemenang pingat pada temasya tersebut.

“Insentif segera kepada pemenang pingat emas baru-baru ini adalah yang tertinggi pernah diberikan kepada atlet. Selain RM300 yang diberikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), pihak pengurusan pasukan telah menambah RM700 menjadikannya RM1,000 untuk setiap pemenang pingat emas.

“Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengekalkan insentif kemenangan seperti Sukma lepas walaupun tidak bergelar juara iaitu RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

“Di samping atlet-atlet terbabit, jurulatih, pengurus pasukan serta persatuan sukan yang diwakili oleh atlet tersebut juga turut menerima insentif yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukma ke-18 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif dalam ucapannya turut menyarankan MSNT dan serta Rozi mempercepatkan proses penyediaan atlet Sukma 2018 yang akan berlangsung di Perak.

“Saya minta kepada pihak MSNT dan Dato’ Rozi Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia melakukan pelancaran atlet Sukma 2018 dan serahkan pada jabatan angkat sebagai persediaan lebih awal.

“Walaupun keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam bidang sukan dan pendidikan,” katanya.

Pada temasya Sukma edisi ke-18 baru-baru ini, Terengganu berada di tangga ketiga dengan memungut 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa manakala Selangor di kedudukan pertama dan tuan rumah, Sarawak tempat kedua.

Sukan berbasikal menjadi penyumbang emas tertinggi kepada kontinjen Terengganu dengan kutipan 14 emas, 4 perak dan 4 gangsa sekaligus menyamai rekod kutipan emas kanu pada Sukma 2014 lalu.

No comments: